Thursday 23 June 2011

Bermalam di Muzdalifah

Selepas 2 hari di Arafah, jemaah haji akan bergerak ke Muzdalifah dan akan berada di sana sehingga tengah malam. Umi ada terdengar orang berkata semasa menunggu bas untuk ke Muzdalifah, keadaan di Muzdalifah lebih mencabar daripada di Arafah. Jadi umi tak terbayang  apakah cabaran di Muzdalifah? Tandas ke? Beg hilang ke?  rasanya tak terbayang bagaimana keadaan di Muzdfalifah nanti. Sebelum naik bas umi akan pastikan umi, mak ngah dan abah berada dalam bas yang sama. Apa2 hal senang nak diuruskan kalau ada masalah nanti. Jemaah haji Dasree menaiki 2 buah bas menuju ke Muzdalifah.

Jarak di antara Arafah dan Muzdalifah tidak jauh sangat. Tetapi perjalanan memakan masa yang agak lama kerana semua jemah bergerak serentak dan menuju ke tempat yang sama. Kesibukan dijalan raya memang perkara biasa semasa haji. Sejurus tiba di Muzdalifah dan turun dari bas kami terus mengatur langkah mengikuti jejak wan Harun selaku ketua kami. Pada masa itu lautan manusia sudah membanjiri kawasaan lapang di Muzdalifah. Kami sukar bergerak kerana terpaksa mengaangkat beg, membawa bekalan makanan dan apa2 sahaja peralatan yang digunakan semasa berada di Arafah. Mata kami tidak lepas menjejaki di mana Wan Harun pergi kerana takut ditinggalkan dan akhirnya akan sesat. Akhirnya kami menemui sedikit ruang untuk meletakkan beg dan berehat seketika. Fikiran umi pada masa itu sentiasa risau kerana takut hilang. Di Muzdalifah tak de khemah. Semua jemaah duduk beralaskan tikar atau apa sahaja yang boleh digunakan sebagai alas. Umi sendiri gunakan selimut sebagai hamparan.

Kami nampak bumi Muzdalifaah dipenuhi jemaah haji macam semut mengerumuni gula. Semua berwarna putih. Suasana malam tu agak sejuk sebab kami berbumbungkan langit.  Semua jemaah hampir sama, dan susah nak cam ahli kumpulan kita sendiri, apatah lagi kami dari kumpulan Dasree tidak mempunyai apa2 tanda pengenalan seperti bendera, skaf, tanda nama dan sebagainya. Sepanjang berada di Muzdalifah umi tidak bergerak ke mana-mana, duduk berehat sehingga tertidur. Disebabkan keadaan yang terlalu ramai dan padat dengan jemaah haji, agak mustahil untuk kita merayau-merayau dan mencari anak batu.  Kak Hasmah, Fatihah dan Kak Idah terpaksa mengorek pasir untuk mencari anak batu untuk dibuat melontar di Mina.

No comments:

Post a Comment