Thursday 23 June 2011

Lambaian Haji

Pengalaman menunaikan haji pada November 2010 dan menunaikan umrah buat pertama kali pada November 2009 merupakan pengalaman paling berharga dalam hidup kerana berpeluang menjadi tetamu Allah. Keinginan untuk menunaikan haji mula berputik sekitar tahun 2007 apabila Ustazah Sopiah mengajak saya dan suami mengerjakan haji pada tahun tersebut menerusi agensi pakej haji swasta semasa kami menziarahi beliau sempena Hari Raya Aidilfitri. Ustazah Sopiah dan suaminya Ustaz Munjir sering membawa jemaah haji dan umrah di kawasan  sekitar Tanjung Karang dan kawasan-kawasan berhampiran hampir setiap tahun.
Bermula detik tersebut, keinginan kami untuk menjejakkan kaki di bumi Mekah mula berputik. Namun disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan akhirnya hasrat untuk menjadi tetamu Allah akhirnya tertunai pada musim haji 1431.  Pengalaman menunaikan umrah pada 2009 juga merupakan rentetan kegagalan mendapatkan visa untuk menunaikan haji pada tahun tersebut. Kesedihan mendapatkan visa mendorong kami untuk menunaikan umrah dalam masa yang terdekat. Tarikan untuk ke Tanah Suci sangat mencengkam. Lambaian Kaabah sentiasa di mata kami sehingga kami selalu bermimpi berada di Mekah walaupun sebenarnya kami tidak pernah pun menjejakkan kaki di bumi Mekah atau Madinah. Desakan untuk menjadi tetamu Allah pada masa itu sangat menghimpit perasaan kami. Namun kami redha dengan segala ketentuanNya. Kami pasti tentu ada hikmah disebalik ketentuan ini. Alhamdulillah ,berkat kesungguhan kami berdoa supaya Allah menjemput kami pada musim haji  yang akan datang akhirnya telah dimakbulkan.

No comments:

Post a Comment