Thursday 23 June 2011

Kenangan Haji

Keindahan cinta di bumi Mekah
Pengalaman menunaikan haji pada November 2010 dan menunaikan umrah buat pertama kali pada November 2009 merupakan pengalaman paling berharga dalam hidup kerana berpeluang menjadi tetamu Allah. Keinginan untuk menunaikan haji mula berputik sekitar tahun 2007 apabila Ustazah Sopiah mengajak saya dan suami mengerjakan haji pada tahun tersebut menerusi agensi pakej haji swasta semasa kami menziarahi beliau sempena Hari Raya Aidilfitri. Ustazah Sopiah dan suaminya Ustaz Munjir sering membawa jemaah haji dan umrah di kawasan  sekitar Tanjung Karang dan kawasan-kawasan berhampiran hampir setiap tahun.
Bermula detik tersebut, keinginan kami untuk menjejakkan kaki di bumi Mekah mula berputik. Namun disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan akhirnya hasrat untuk menjadi tetamu Allah akhirnya tertunai pada musim haji 1431.  Pengalaman menunaikan umrah pada 2009 juga merupakan rentetan kegagalan mendapatkan visa untuk menunaikan haji pada tahun tersebut. Kesedihan mendapatkan visa mendorong kami untuk menunaikan umrah dalam masa yang terdekat. Tarikan untuk ke Tanah Suci sangat mencengkam. Lambaian Kaabah sentiasa di mata kami sehingga kami selalu bermimpi berada di Mekah walaupun sebenarnya kami tidak pernah pun menjejakkan kaki di bumi Mekah atau Madinah. Desakan untuk menjadi tetamu Allah pada masa itu sangat menghimpit perasaan kami. Namun kami redha dengan segala ketentuanNya. Kami pasti tentu ada hikmah disebalik ketentuan ini. Alhamdulillah ,berkat kesungguhan kami berdoa supaya Allah menjemput kami pada musim haji  yang akan datang akhirnya telah dimakbulkan.
“Yang..jangan lupa baca banyak-banyak kali doa yang kita pohon tu..” itulah antara sms yang ku sering terima daripada suami  yang tak jemu-jemu mengingatkan aku supaya banyak berdoa semasa kami wukuf di Padang Arafah pada musim haji yang lalu. Bukan sahaja semasa wukuf di Padang arafah, bahkan sepanjang kami berada di Mekah dan Madinah. Diantara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan ialah semasa berada di Padang Arafah untuk memulakan ibadah wukuf pada 9 Zulhijjah. Sejarah di Padang Arafah telah mengabadikan kisah Nabi Adam dan isterinya, Hawa memohon keampunan Allah lantaran telah melanggar perintah Allah semasa berada di dalam syurga. Kasih sayang dan cinta Nabi Adam terhadap Hawa terlalu unggul dan utuh sehingga selepas 40 tahun akhirnya dengan izin Allah Nabi Adam dan Hawa telah bertemu semula di Jabal Rahmah. Begitu juga perasaan yang kami suami dan isteri hadapi sepanjang berada di Padang Arafah. Kami sentiasa dibuai perasaan rindu yang membera, hati sentiasa bergetar dan berdebar tatkala bersua muka.
Kehangatan semasa bercinta dahulu hadir dalam jiwa kami dengan sendirinya. Perasaan dan keinginan untuk sentiasa berdampingan bersama-sama pasangan masing-masing sentiasa bergelora di dalam dada. Rupa-rupanya bukan kami sahaja yang mempunyai perasaan seperti itu, rata-rata rakan-rakan kami juga mengalami keinginan dan perasaan yang sama. Mungkin ini  juga adalah hikmah disebalik larangan-larangan sewaktu berihram supaya manusia kembali kepada fitrah.Menurut seorang rakan yang sering menunaikan umrah, apabila berada di Mekah, hubungan suami isteri selalunya menjadi lebih intim. Tidak kurang juga ada pasangan yang sering bermasam muka dan berselisih faham disebabkan perkara yang sangat remeh. Namun, apa yang kami rasai hubungan dan ikatan kami bertambah mesra dan semakin erat.  Saat yang paling manis untuk dikenang ialah semasa berjalan kaki pulang semula ke hotel selepas menunaikan solat fardhu di masjid. Kami  sentiasa berpegangan tangan sepanjang jalan menuju ke hotel. Terasa seperti pengantin baru! Walaupun sebenarnya kami sudah mempunyai 6 orang anak. Di Malaysia, peluang untuk berjalan bersama-sama dan berpegangan tangan selepas solat berjemaah di masjid memang sesuatu yang tidak pernah kami lakukan. Selepas balik daripada haji kami benar-benar merindui kemesraan dan keintiman semasa berada di Mekah dan Madinah dulu. Justeru, saya tidak putus-putus berdoa agar Allah menjemput kami dan dapat mengunjungi bumi Mekah dan Madinah lagi pada masa akan datang.Insyaallah.

   

No comments:

Post a Comment