Thursday 23 June 2011

Bicara Kewartawanan: Peranan Media Massa Dalam Menterjemahkan Syiar Islam


Kebangkitan ‘islamophobia’ oleh media massa  di negara-negara Barat melambangkan kegusaran dan ketakutan musuh –musuh islam terhadap pengaruh dan keagungan Islam pada satu ketika dulu.Sejarah telah merakamkan bahawa telah wujud sekian lama permusuhan di antara Islam dan Zionis. Islam dilihat sebagai satu ancaman  dan satu kuasa yang boleh menggugat kehebatan dan kegemilangan golongan Zionis. Justeru, pihak Zionis telah merancang beberapa strategi terhadap negara-negara Islam yang bertujuan untuk melumpuhkan kekuatan dan pegangan orang-orang Islam terhadap agama mereka. Di antara perancangan jahat pihak Barat dan puak Zionis ialah melalui program-program hiburan  menerusi media massa. Kumpulan sasaran program-program hiburan yang melampau ini yang dikenali sebagai budaya hedonism adalah golongan muda negara-negara islam yang mudah terpengaruh dengan budaya-budaya barat.  Antara strategi jahat mereka ialah dengan merosakkan anak-anak muda Islam dengan menggalakan hiburan yang melampau dan melalaikan, menyemaikan pemikiran dan gaya hidup yang bertentangan dengan Islam seperti gaya hidup bebas dan berseronok-seronok, membawa fahaman atau ideologi yang bertentangan dengan Islam ke dalam pemerintahan negara.


Kesedaran mengenai perancangan jahat barat terhadap umat Islam telah direalisasikan menerusi penganjuran Bicara Kewartawanan yang membincangkan tajuk mengenai Peranan Media dalam Menterjemahkan Syiar Islam sempena Minggu Aspirasi Komunikasi Islam 2 (MAKSIS 2) yang dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Melaka pada 22-24 Februari 2011. Beberapa ahli panel yang hebat dan tersohor serta mempunyai kepakaran dan pengalaman yang meluas mengenai industri media di Malaysia telah dijemput untuk mengupas isu peranan media Malaysia dalam menangkis propaganda media barat yang memperlekah dan mempersendakan islam. Ahli-ahli panel terdiri daripada tuan Haji Mat Radzi bin Mat Ali, Pengarah Inovasi dan Ketamadunan JAKIM, Encik Zulkifle Salleh, Timbalan  Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Am) BERNAMA, Al-Fadhil Ustaz Mohd Nasir bin Amir, Timbalan Ketua Eksekutif Kolej Pengajian Islam Johor. Bual bicara kewartawanan ini dikendalikan  oleh Encik Khaidir bin Abd Majid, Pengarang Luar Negara Berita Harian selaku moderator forum.

CIRI-CIRI WARTWAWAN ISLAM
Bicara kewartawanan yang dianjurkan sempena Minggu Aspirasi Komunikasi Islam 2 (MAKSIS 2) dihadiri oleh pelajar-pelajar Diploma Komunikasi dan Pengajian Media semester 3 bagi memenuhi keperluan kursus JRN 211 (Journalism). Para pelajar program Komunikasi merupakan golongan pelapis pengamal-pengamal media pada hari ini. Al-Fadhil Ustaz Mohd Nasir mengingatkan hadirin mengenai nilai-nilai yang menjadi pegangan seorang wartawan mestilah berlandaskan nilai-nilai yang telah disyariatkan oleh islam dalam penyebaran berita. Sekiranya para wartawan berjaya menghayati nilai-nilai islam dalam penyebaran berita, ini bermakna media telah dijadikan sebagai satu instrumen untuk berdakwah. Al-Fadhil Ustaz menegaskan peranan media tidak akan berubah sekiranya para pengamal media sendiri tidak berubah. Islam merupakan pegangan hidup manusia yang lengkap yang terkandung dalam ajaran al-Quran dan Sunnah. Media massa yang dijadikan sebagai agen untuk mengubah manusia mestilah berpandukan kepada syariat islam agar hasrat untut berdakwah melalui media dapat dilaksanakan.Dalam hal ini Allahj SWT telah berfirman di dalam Al-Quran mengenai kewajiapan untuk berdakwah iaitu;

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Al-Nahl 16: 125-126)

Dalam ayat ini juga para pendakwah (pemberita) diseru agar memiliki sifat ‘hikmah” semasa menjalankan tugas (berdakwah). Berdakwah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap manusia dengan menggunakan apa sahaja kaedah atau pendekatan yang sesuai. Namun cabaran yang paling besar yang berlaku dikalangan umat islam sendiri apabila mereka masih jahil dan tidak memahami tipu daya media barat yang berterusan memburuk-burukkan imej islam.

PERANAN JAKIM DALAM MENTERJEMAH MEDIA ISLAM

Hasrat untuk mewujudkan media islam di Malaysia dimantapkan dengan adanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berperanan menyediakan program-program  untuk siaran televisyen dan radio. Menurut  Tuan Haji Mat Radzi bin Mat Ali, beliau menerangkan bagaimana JAKIM membantu media untuk menyebarkan dakwah di Malaysia. Perkara yang paling penting untuk menyebarkan dakwah menerusi media ialah mengenai  isi kandungan media (media content). Penonton juga mempunyai peranan sebagai  penapis kandungan media yang disiarkan. Sebagai penonton islam, penapis diri yang paling utama ialah tahap keimanan seseorang yang meliputi elemen-elemen iman, ikrar dan amal.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertanggungjawab menerbitkan program-program bercorak keislaman untuk siaran radio dan televisyen Malaysia. Sebagai contoh untuk siaran televisyen selama seminggu sebanyak 20 jam diperuntukkan untuk program-program terbitan JAKIM. Manakala untuk siaran radio pula sebanyak  113 jam untuk siaran radio Salam FM, Klasik nNsional, i-FM, radio Tamil dan Asyik FM.
JAKIM juga bertanggungjawab dalam perancangan dan penerbitan TV al-Hijrah, sebuah rangkaian saluran televisyen yang berkonsepkan tv islam, di samping mengadakaan seminar dan  bengkel kepada karyawan islam yang akan menerbitkan program-program yang bercorak patuh syariah. JAKIM juga menyediakan garispanduan penerbitan kepada penerbit-penerbit media tempatan.

CABARAN-CABARAN JAKIM DALAM PELAKSANAAN MEDIA ISLAM

Dalam bual bicara ini juga,Tuan Haji Mat Radzi bin Mat Ali mengupas beberapa persolan yang berkaitan cabaran atau halangan JAKIM dalam perlaksanaan media islam. Di antaranya ialah;
1.       Pertembungan budaya  di antara Islam dan Barat. Masyarakat Islam di Malaysia pada hari ini menghadapi ancaman daripada Barat dengan lambakan budaya hedonism di kalangan golongan muda. Budaya yang diterapkan oleh media Barat mengajak golongan muda supaya menikmati kehidupan ini dengan keseronokan dan hiburan semata-mata. Pegangan agama semakin terhakis dan Islam tidak dijadikan sebagai satu cara hidup.
2.       Kesan arus globalisasi,modernisasi dan westernization. Kecanggihan alat teknologi dan komunikasi yang dicipta untk membantu dan memudahkan kehidupan manusia telah disalahgunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak berfaedah. Kandungan media massa sarat dengan program-program hiburan yang akhirnya akan merosakkan dan melalaikan penonton.
3.       Tayangan yang menyalahi garispanduan JAKIM dan Kementerian Dalam Negeri.
4.       Waktu siaran yang kurang sesuai.

PERANAN BERNAMA DALAM MENYEBARKAN DAKWAH

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai sebuah agensi berita tempatan sangat optimis dan proaktif tentang peranan media sebagai instrumen dakwah terutamanya dalam memberikan penerangan kepada golongan bukan Islam di Malaysia. BERNAMA sebagai sebuah organisasi media sememangnya mengamalkan dan menerapkan nilai-nilai yang berteraskan syariat di kalangan ahli-ahlinya. Menurut Encik Zulkifle Salleh, seorang wartawan yang mempunyai pengalaman yang luas dalam industri media menjelaskan dalam perbincangan ini bahawa proses komunikasi  di antara manusia dan Allah bermula seawal kewujudan Nabi Adam di muka bumi ini. Dunia merupakan perantara di antara hubungan Allah swt dan manusia.  Setiap manusia mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah. Tugas ini juga meliputi para wartawan atau pengamal media yang bertanggungjawab melaksanakan transformasi kepada umat islam menjadi “ummatan wasatan”.  Namun realitinya, peranan media sudah jauh berubah disebabkan wujudnya persaingan dalam media baru.  Para pengamal media berhadapan dengan konflik dan dilema dalam menegakkan kebenaran dalam berita. 

Encik Zulkifle menjelaskan di antara faktor-faktor yang menyebabkan media tempatan kurang berperanan dalam mengubah pemikiran dan ketahanan orang-orang islam adalah disebabkan orang-islam sendiri yang tidak mendapat ‘world view’ yang tepat berkaitan Islam menerusi media. Pengamal media di BERNAMA menggalas satu tanggungjawab yang besar untuk menyebarkan dakwah. Malah, sebenarnya mereka merupakan golongan yang mulia kerana pekerjaan mereka berkait rapat untuk mengubah dana mengajak manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.Hal ini bertepatan dengan motto BERNAMA iaitu cepat, tepat dan benar. Kesungguhan dan komitmen BERNAMA dalam mendukung peranan media dalam konteks dakwah secara tidak langssung telah mengangkat Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang diseganai dan dihormati oleh pemimpin-pemimpin antarabangsa. 

RUMUSAN

Bual bicara kewartawanan ini berjaya membincangkan isu peranan media dalam menterjemahkan syariat Islam dengan kupasan yang menarik, padat dan bertenaga. Perbincangan menerusi forum ini diharapkan dapat mengetuk minda bakal pengamal media akan datang agar mereka lebih prihatin dan peka tentang tanggungjawab mereka terhadap masyarakat, bangsa, agama dan negara.

No comments:

Post a Comment