Thursday 23 June 2011

Kenangan Haji

Alhamdulilah segala pujian hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam.

Musim Haji 1431H meninggalkan seribu kenangan buat kami berdua dan rakan-rakan yang menyertai Dasree Travel & Tours Sdn . Bhd. Allah telah memperkenankan doa kami agar terpilh menjadi tetamunya pada musim haji pada kali ini. Walaupun terdapat beberapa halangan pada awalnya, akhirnya kami berjaya menyertai hampir 5 juta jemaah haji yang berada di Mekah. Kami membawa sekali Mak Ngah kerana abang merupakan mahram kepada Mak Ngah.  Selepas kami balik dari umrah tahun lepas, Mak Ngah menyatakan keinginan untuk mengerjakan haji bersama-sama kami memandangkan keadaan Pak Ngah yang tidak mengizinkan untuk pergi ke tanah suci untuk menunaikan haji.

Kami berangkat meninggalkan keluarga dengan berbagai-bagai perasaan, gembira, sedih, terharu dan entah apa-apa lagi perasaan yang sukar digambarkan. Meninggalkan anak-anak yang kecil seramai enam orang dibawah jagaan pembantu rumah dan orang tua kerana ke tanah suci bukanlah kali pertama buat kami. Namun, perasaan sedih dan gembira kerana terpilih menjadi tetamuNya pada tahun ini mengatasi segala-galanya. Semuanya bersatu dan sesekali air mata tumpah juga terutamanya apabila Abang Man mula melaungkan azan sebelum kami bergerak menuju ke KLIA. Pada pagi Ahad itu, hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan kami. Perasaan sedih meninggalkan anak-anak mula terasa selepas menunaikan solat sunat musafir bersama abang..umi tahu abah pun sedih juga..umi dah tak sanggup menatap muka anak-anak yang bakal ditinggalkan.. agaknya begitulah rasanya apabila jenazah kita mula diusung dan kita akan meninggalkan keluarga buat selama-lamanya..aku pasrah! Ini semua ketentuan Tuhan Yang Maha Esa. Perjalanan ini adalah untuk menyahut seruan Tuhan dan melengkapkan rukun Islam Yang ke 5.

Alhamdulilah, perjalanan menuju ke KLIA dipermudahkan Allah. Kami tidak perlu pergi ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya kerana kami mengikuti pakej swasta. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui betapa berdebarnya dada kami menunggu Kedutaan Arab Saudi mengeluarkan visa buat kesemua jemaah yang akan dibawa oleh Dasree Travel Sdn. Bhd yang berjumlah 63 orang!...

No comments:

Post a Comment